Hukum-Hakam Berkaitan Anak Angkat

Amalan mengambil anak angkat telah dilakukan sejak sebelum kedatangan Islam.

Pelbagai faktor menyebabkan manusia mengambil dan memelihara anak angkat.

Sebelum kedatangan Islam, anak angkat dianggap seperti anak sendiri tanpa sebarang peraturan dan disiplin yang menjadi garis panduan dalam perkara ini.

Kehadiran Islam tidak pernah menghalang amalan ini, tetapi telah membawa satu sistem yang sempurna bagi menjamin hak kedua-dua belah pihak dan juga menggariskan batas-batas pergaulan serta mengandungi unsur-unsur spiritual yang utuh.

Oleh kerana anak angkat asalnya adalah orang asing kepada keluarga angkatnya, maka sudah pasti apabila dia dewasa, akan timbul persoalan berkenaan aurat, pergaulan sesama ahli keluarga angkat di dalam rumah, bersalaman dan sebagainya.

Ketika itu hukumnya adalah seperti orang asing (ajnabi) yang lain iaitu haram mendedahkan aurat, bersentuhan dan bersunyian di dalam rumah.

Bagaimanakah situasi ini dapat diharungi sedangkan perasaan kasih sayang sebagai anggota keluarga telah lama berputik?

Setelah hidup dalam sebuah rumah selama bertahun-tahun, terlalu sukar bagi seseorang gadis apabila terpaksa menutup aurat di dalam rumah sendiri di hadapan “ayah” atau “adik-beradik” yang lain.

Rasulullah SAW telah mengemukakan satu solusi iaitu amalan penyusuan.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesuatu yang haram disebabkan nasab, juga menjadi haram disebabkan penyusuan.”
Hadith Riwayat Muslim no. 2616
Ketika mensyarahkan hadith ini, Imam an-Nawawi RH berkata:-
“Hukum anak yang menyusu telah menjadi seperti anak kepada yang menyusukannya dan haram mereka berkahwin selama-lamanya. 


Halal pula bagi si anak melihat aurat ibu susuannya, bersama-samanya di rumah dan bermusafir dengannya seperti ibunya sendiri.”
Setelah sempurna penyusuan, hukum anak angkat menjadi anak kepada ibu yang menyusukannya.

Bagi memudahkan perbincangan, saya cuba mengemukakan contoh berikut:-

Pasangan Abdullah dan Aminah mengambil anak angkat bernama Ehsan. Setelah penyusuan sempurna, Ehsan diharamkan berkahwin dengan:-
  • Aminah
  • Anak-anak perempuan Aminah
  • Ibu dan kakak atau adik perempuan Aminah
  • Anak-anak perempuan Abdullah
  • Ibu dan kakak atau adik perempuan Abdullah
Anak-anak Aminah dan Abdullah telah menjadi adik-beradik susuan Ehsan, manakan adik-beradik Aminah dan Abdullah telah menjadi bapa dan ibu saudara susuan kepada Ehsan.

Hukum berkaitan aurat, bersentuhan, bermusafir dan sebagainya adalah seperti anak atau adik-beradik biasa.

Imam al-Bukhari RH (no. 5103) dan Imam Muslim RH (no. 1445) meriwayatkan satu peristiwa yang berlaku kepada Saidatina Aisyah RA, katanya:-
“Aflah, saudara lelaki kepada Abu al-Qu’ais telah meminta izin untuk masuk ke dalam rumahku tetapi aku tidak mengizinkannya sehinga aku bertanya kepada Rasulullah SAW kerana yang menyusukan daku adalah isteri kepada Abu al-Qu’ais, bukannya Aflah.


Baginda menjawab:-

“Izinkan Aflah masuk, sesunggunya dia adalah bapa saudaramu wahai Aisyah.”

Penyusuan Yang Sempurna

Terdapat dua syarat utama yang menyebabkan penyusuan dianggap sempurna dan menjadikan hukum anak angkat seperti anak sendiri:-

1. Penyusuan berlaku sebelum bayi berumur dua tahun

Ia berdasarkan kepada hadith mauquf kepada Ibn Abbas RA yang diriwayatkan daripada al-Daruqutni:-
“Tidak dikira penyusuan melainkan sebelum bayi berumur dua tahun.”
Ibn ‘Amir al-San’ani menyatakan dalam kitabnya Subul al-Salam bahawa penyusuan tidak dianggap sempurna kecuali dalam tempoh dua tahun pertama bayi tersebut.

2. Bayi mestilah menyusu paling kurang sebanyak lima kali kenyang

Ini berdasarkan hadith mauquf kepada Saidatina Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH (no. 1452) katanya:-
“Pada peringkat awal penurunan al-Quran, penyusuan yang sempurna adalah 10 kali yang mengenyangkan. 

Kemudian ia dinasakhkan (dibatalkan) hukumnya kepada lima kali kenyang, sehingalah Rasulullah SAW wafat.”
Dalam kitab Subul al-Salam juga dijelaskan bahawa penyusuan yang mengenyangkan dikira apabila bayi mula menyusu dan berhenti dengan sendiri apabila dia kenyang. 

Sekiranya terhenti disebabkan bersin, terbatuk atau sendawa, kemudian menyambung penyusuannya, ia masih dikira sekali.

Ibu Angkat Tidak Mempunyai Susu

Fahamilah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT kepada anda. Ada pasangan yang diuji memliki zuriat, tetapi menghidap penyakit yang kronik. Ada yang diuji dalam bentuk anaknya yang sihat, tetapi menjadi penagih dadah apabila dewasa. 

Ada juga yang diuji dengan anak yang membesar dengan sihat dan berhaya, tetapi derhaka kepada orang tuanya. Sesungguhnya kehidupan ini adalah medan ujian Allah SWT terhadap hamba-Nya dalam musafir menuju akhirat yang kekal.

Teruskan usaha dan jangan lupa berdoa kepada-Nya.

Ibu angkat diharuskan memakan ubat yang mengeluarkan hormon bagi menghasilkan susu dengan syarat mendapat nasihat daripada doktor pakar Muslim yang amanah.

Merujuk kepada contoh Abdullah dan Aminah sebelum ini, Ehsan disusukan oleh kakak atau adik perempuan Aminah supaya dia menjadi anak saudara Aminah.

Atau sekiranya anak angkat itu perempuan, maka dia disusukan oleh kakak atau adik perempuan Abdullah, supaya menjadi anak saudara susuannya.

Anak Diambil Ketika Usia Melebihi Dua Tahun

Ketika ini, kisah kecintaan Nabi Ibrahim AS kepada anaknya mesilah dijadikan contoh utama kepada ibu bapa angkat dan anaknya. Nabi Ibrahim AS terlalu cintakan anaknya dan begitulah sebaliknya.

Walau bagaimanapun kedua-dua insan ini telah membuktikan cinta mereka kepada Allah SWT adalah lebih utama dengan melaksanakan hukum-Nya. Si ayah sanggup menyembelih anak demi ketaatan kepada Allah SWT dan si anak pasrah dengan sepenuh hatinya. 


Demikianlah ibu bapa dan anak angkatnya mestilah tunduk kepada hukum Allah SWT bahawa mereka adalah seperti orang asing walaupun telah lama hidup bersama dan kasih sayang telah tersemat erat.

Haram Binkan Anak Kepada Bapa Angkat

Seperkara lagi yang diambil remeh oleh sebahagian masyarakat kita ialah perbuatan membinkan anak kepada bapa angkat. 

Hukumnya adalah haram.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:-
“Panggilah mereka (anak-anak angkat) itu dengan nama bapa-bapa mereka.” 
Surah al-Ahzab 33:5
Sekiranya perkara ini telah berlaku, maka wajib diusahakan segera agar diubah kembali kepada nama ayahnya yang sebenar.

Insya-Allah segala kesulitan menyelesaikan proses tersebut dinilai pahala di sisi Allah SWT.

Wallahua'lam